Rukun Islam: 5 Konsep Asas Kehidupan Umat Islam

Apakah rukun islam yang perlu anda tahu sebagai seorang Muslim? Jom kami kongsikan huraian lengkap mengenainya untuk pemahaman anda.

Baca juga:

Apa itu rukun islam?

Makna Islam dalam sudut bahasa adalah taat dan patuh. Manakala dari sudut syarak pula ialah tunduk, taat, dan patuh kepada perintah Allah SWT sepertimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Islam ini diasaskan oleh lima perkara dasar yang menjadi asas kepada umat Islam iaitu rukun islam.

Setiap Muslim perlu menghayati dan berpegang teguh kepada lima rukun islam. Selain itu, kita juga haruslah mengaplikasikan rukun-rukun ini dalam kehidupan seharian dengan sebaik-baiknya.

Dalil pensyariatan

Perbincangan mengenai rukun islam ini banyak dinyatakan dalam Al-Quran dan hadis:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضى الله عنهما قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ “

Maksudnya: “Daripada Ibn ‘Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangun atas lima (perkara), Syahadah La ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji, dan puasa Ramadan.” – (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ “

Maksudnya: “Daripada Abdullah (Ibnu ‘Umar), beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangun atas lima (perkara), Syahadah La ilaha illallah dan Muhammad ialah hamba Nya dan Rasul Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji di Baitullah, dan puasa Ramadan.” – (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Huraian mengenai rukun islam

Muslim sejati haruslah faham akan perkara-perkara yang terkandung dalam rukun islam ini. Ibaratnya seperti paksi yang menjadi pelengkap kepada membentuk islam yang sempurna dalam hati.

Rukun islam ini adalah berdasarkan syariat yang benar daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

1. Mengucap dua kalimah syahadah

Syahadah adalah pengucapan lidah yang melahirkan pengakuan hati dan keinginan jiwa terhadap ketuhanan dan keesaan Allah serta kebenaran Rasul Nya Muhammad SAW sebagai utusan terakhir yang membawa rahmat kepada keseluruhan Alam.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mengakhiri kalamnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakir dengan lailahaillallah maka dia masuk syurga.” – (Hadis Riwayat Muaz bin Jabal)

Lafaz kalimah syahadah adalah seperti berikut:

أشهدُ أنْ لا إلهَ إلاَّ اللهُ وأشهدُ أنَّ محمّداً رسولُ الله

Ashhadu al la ilaha illa llah. Wa ash hadu anna muhammadar Rasulullah

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Lafaz ini adalah kalimah manusia mengaku Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruhnya yang telah melakukan kebaikan terbesar di sisi Tuhan. Kalimah syahadah menjadi tunjang dalam keislaman dalam jiwa setiap Muslim.

Sebagaimana firman Nya;  

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلْبَٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْكَبِيرُ

“Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dialah sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain daripada Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi (keadaan Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan Nya).” – (Surah Al-Hajj, ayat 62)

2. Menunaikan solat lima waktu

rukun islam

Solat menurut bahasa adalah doa. Dalam istilah syarak, solat adalah ibadah yang tersusun dari beberapa perkataan dan perbuatan dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu.

Rukun solat terbahagi kepada 3 iaitu rukun qalbi, rukun fi’li dan rukun qauli.

  • Rukun qauli: Dilakukan secara lisan dan wajib di dengari oleh telinga sendiri (contoh: takbiratul ihram, tahiyat akhir, baca Al-Fatihah, selawat atas Nabi, dan salam)
  • Rukun fi’li: Dilakukan secara perbuatan atau pergerakan (contoh: berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan duduk tahiyat akhir)
  • Rukun qalbi: Perlu dilakukan di dalam hati (contoh: niat dan tertib)

Tujuan solat adalah untuk mendidik manusia supaya sentiasa mengingati Allah SWT dan mematuhi perintah Nya.

Dengan solat, manusia boleh memelihara diri mereka dari melakukan kejahatan dan mendapat ketenangan jiwa.

Orang yang meninggalkan solat akan mendapat dosa dan dikategorikan sebagai meraka yang terpedaya dengan ikutan hawa nafsu.

Balasan kepada mereka yang meninggalkan solat ialah akan dimasukkan ke dalam neraka. Hal ini seperti mana firman Allah SWT dalam surah Maryam, ayat 59 yang bermaksud:

“Kemudian mereka digantikan keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).”

3. Berpuasa dalam bulan Ramadan

rukun islam

Berpuasa menurut bahasa adalah menahan diri daripada sesuatu. Menurut istillah pula adalah menahan diri daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari.

Puasa juga menuntut kita mencegah nafsu lahir dan batin daripada segala yang dilarang serta mengawasi gerak-geri badan daripada melakukan suatu yang ditegah oleh hukum

Ia wajib ditunaikan menurut ketetapan syariat puasa dengan firman Nya yang bermaksud:

“Oleh itu barangsiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) hendaklah dia berpuasa bulan itu.” – (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Syarat wajib puasa:

  • Islam: Tidak wajib bagi orang kafir melakukan puasa
  • Baligh: Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh.
  • Berakal: Tidak diwajibkan berpuasa bagi orang gila
  • Berkemampuan: Tidak wajib bagi orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya

Syarat sah puasa:

  • Islam
  • Berakal
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Masuk waktu puasa
  • Berniat pada setiap malam
  • Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa

4. Menunaikan zakat

rukun islam

Dari segi bahasa, zakat adalah berkat, tumbuh, suci, bersih, dan baik. Manakala dari segi istilah adalah sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah SWT diserahkan kepada orang yang berhak.

Antara jenis-jenis zakat adalah seeprti zakat pendapatan, zakat fitrah, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat emas, dan sebagainya.

5. Mengerjalan haji ke baitullah bagi yang mampu

Setiap umat Islam yang cukup syaratnya (berkemampuan) wajib mengerjakan haji di Mekah.

Haji adalah ibadat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Orang yang menunaikan haji bukanlah kerana hendakkan keduniaan (gelaran atau menunjuk-nunjuk) tetapi kerana ibadat haji itu tuntutan agama.

Kewajipan mengerjakan haji diterangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dengan firman Nya yang bermaksud:

“Dan bagi (kerana) Allah (wajib) atas manusia pergi ke rumah itu, (iaitu) siapa yang berkuasa mengadakan perjalanan kepadanya, dan barangsiapa yang kufu maka sesungguhnya Allah itu kaya daripada alam semesta.” – (surah Ali-Imran, ayat 97)

Rukun haji:

  • Niat
  • Wukuf
  • Tawaf sai’
  • Bercukur / bergunting
  • Tertib

Syarat wajib haji:

  • Niat ihram di miqat
  • Meninggalkan perkara larangan dalam ihram
  • Bermalam di Muzalifah
  • Melontar Jamnarh Al-Aqabah
  • Bermalam di Mina
  • Melontar ketiga-tiga jamrah pada Hari Tasyrik

Syarat sah haji:

  • Islam: Tidak wajib atas orang kafir dan murtad
  • Baligh: Tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya apabila baligh
  • Berakal: Tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya
  • Merdeka: Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala
  • Berkuasa / berkemampuan: Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan

Kesimpulan

Kesimpulannya, seorang Muslim yang bertaqwa perlu melaksanakan perintah Allah SWT tanpa culas.

Untuk mencapai ketakwaan di sisi Nya seorang Mukmin perlu melaksanakan rukun islam dan mempercayai rukun iman.

Diharapkan perkongsian kali ini memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk kehidupan seharian. Panduan yang diberikan tidak lain hanya untuk memudahkan anda semua memahami rukun islam dengan mudah.

Sumber:

  1. Rukun Islam : Lima Tiang Agama Islam. eCentral
  2.  Rukun Islam Dalam Islam & Huraian Lengkapnya. Taqwa.my
Share your love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *